Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu
MENDAKI GUNUNG KINABALU – MENGUJI MENTAL DAN FIZIKAL
Assalamualaikum… Bismillahirrahmanirrahim… Segala puji hanya bagi Allah s.w.t serta salawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w..
Alhamdulillah, pada hari Jumaat, 3hb Ogos yang lepas kak Ti bersama-sama 19 orang lagi rakan-rakan sependakian yang terdiri dari 9 orang abam-abam sado dan juga 11 orang hakak-hakak gojes (konon nak kata dia pun gojes la tuuu.. padahal….) telah berjaya mendaki Gunung Kinabalu. Syukur yang tak terhingga penantian selama setahun untuk mendaki Gunung Kinabalu akhirnya tercapai juga..
Kalau korang nak tau, mendaki Gunung Kinabalu ni termasuk dalam wish list kak Ti tau. Rasanya kan, setiap orang yang memang meminati aktiviti daki mendaki ni mestilah impian dia untuk berada kat puncak Akinabalu yang tersergam megah dan menjadi kebanggan penduduk Negeri Bawah Bayu tu.
SIAPA NAK BAWAK KITA?
Hmmmm.. Macam mana idea nak daki Gunung Kinabalu ni boleh tercetus ek.. Jap nak kena fikir balik ni. Alaaa korang ni harap maklumlah.. simptom mak-mak namanya ni. Urat-urat dah banyak putus.. hihihi..
Kalau tak silap kak Ti, semuanya bermula dengan hobi kak Ti dan rakan-rakan kak Ti buat aktiviti outdoor sama-sama sampailah satu hari tu terkeluar idea untuk mendaki Gunung Kinabalu. Apa lagi.. Memang umpama pucuk dicita ulam mendatang la bagi kak Ti.. dan sejak itu bermulalah pencarian kami untuk cari orang aka leader atau dalam bahasa gunung GOGO yang boleh bawak kami semua mendaki Gunung Kinabalu.
BERTEMU JODOH DENGAN SI MONDOK
Aissshhhh… Kak Ti ni.. Tajuk entry Pengalaman Mendaki Gunung Kinabalu.. Yang dok throwback tu naper…
Sabarlah sayang.. Kak Ti nak cerita la ni.. Tapi kita start dari mula la baru best kan.. Lagipun, bagi kak Ti inilah tempat kak Ti nak menyimpan segala kenangan dan memori kak Ti untuk kenang-kenangan masa akan datang.. Macam ala-ala diari la kononnya kan.. Manalah tau esok-esok anak cucu kak Ti baca.. Gitttuuuu…
Ok.. back to cerita bertemu jodoh dengan si Mondok.. Bukan bertemu jodoh yang tu.. Maksud kak Ti akhirnya kami dipertemukan dengan leader hiking yang bersedia untuk bawak kami nubis-nubis dalam dunia hiking ni untuk mendaki Gunung Kinabalu. Terma kasih Nini dan Kak Long yang mengenalkan kami dengan si Mondok ni.
PRACTICE MAKES PERFECT
Maka sejak tu bermulalah siri latihan-latihan dan persediaan kami untuk mendaki Gunung Kinabalu samaada bersama Mondok ataupun sesama kami je. Kami bermula dari bukit kemudian beranjak ke kategori gunung. Antara yang sempat kami daki sepanjang sesi training seperti Gunung Nuang, Gunung Datuk, Gunung Angsi, Bukit Kutu, Gunung Irau dan beberapa bukit bukit.
Kak Ti personally memang berterima kasih sangat dengan ‘training-training’ yang kami lakukan. Kesabaran Mondok dan krewnya terutamanya Rashid sang sweeper agung dalam melayan kepewaian kami memang terbaik. Terima kasih juga pada Kapten Black dan team Jom Kurus KLCC atas sesi-sesi latihan yang kami lakukan yang sememangnya banyak membantu dalam menaikkan stamina kak Ti.
TARIKH KERAMAT – PENDAKIAN GUNUNG KINABALU
Akhirnya setelah lebih kurang setahun tempoh membuat persediaan, berangkatlah kami pada 2 Ogos 2018 menuju ke Kota Kinabalu. Bermacam-macam perasaan yang bermain dalam pemikiran kami semua. Teruja? Dah tentulah kami semua teruja. Tapi dalam masa yang sama, debaran juga semakin kuat kami rasakan.Apatah lagi bila kami semua dapat berita bahawa cuaca tidak menentu di Gunung Kinabalu dan ada beberapa hari berturut-turut yang mana pendaki tidak dibenarkan untuk meneruskan pendakian ke puncak.
Sampai di Kota Kinabalu, kami teruskan perjalanan menuju ke Kundasang. Dalam perjalanan ke Kundasang tu, sempatlah juga kami singgah ke beberapa tempat menarik sebelum sampai ke Kundasang. Sampai di Kundasang, kami disambut dengan cuaca sejuk dan hujan renyai. Bila tengok keadaan cuaca, hati kami semakin berdebar. Tapi kami sedapkan hati dengan harapan, hari dimana kami akan ke puncak, cuaca akan berpihak kepada kami.
TIMPOHON KE LABAN RATA
3 Ogos 2018, hari pendakian menuju Laban Rata. Seawal pagi lagi kami bergerak keluar dari penginapan menuju ke pejabat Sabah Parks. Sebelum kami sempatlah juga singgah sarapan kat Pekan Kundasang sebelum meneruskan perjalanan ke Sabah Parks. Selesai urusan pendaftaran, kami semua diberikan pengenalan diri yang perlu kami pakai sepanjang pendakian, semasa di Laban Rata dan juga di check point sebelum ke puncak Kinabalu, iaitu check point Sayat-Sayat.
Bermula dari pejabat Sabah Parks hinggalah ke Timpohon, iaitu check point permulaan pendakian, cuaca mendung mengiringi perjalanan kami. Dia punya sejuk tu kan, jangan cakaplah. Sejuk! Dalam hati kami risau memikirkan rezeki kami untuk pendakian ke puncak. Apatah lagi beberapa hari tu memang ramai pendaki yang tak dapat summit sebab keadaan cuaca yang tak mengizinkan dan pintu Sayat-Sayat ditutup.
Pendakian dari Timpohon ke Laban Rata berjalan dengan lancar. Alhamdulillah.. Kak Ti dapat sampai ke Laban Rata sebelum cafe buka. Terima kasih kak Ti ucapkan pada hiking buddy kak Ti pada hari tersebut yang jadi peneman kak Ti dan bagi semangat sepanjang pendakian menuju ke Laban Rata. Ada kalanya kaki ni seakan tak mampu dah nak melangkah tapi “Chicken” tetap bagi semangat untuk teruskan perjalanan. Hujan renyai mengiringi perjalanan kami dan masa kami sampai di Laban Rata angin yang sangat kencang menyambut ketibaan kami. Dia punya kencang tu kan sampaikan rasa macam nak terbang kena tiup angin masa tu.
BEREHAT DI LABAN RATA
Kak Ti dan beberapa rakan lain yang sampai agak awal di Laban Rata berehat sekejap dalam Lemaing Hostel. Dia punya sejuk tu kan jangan cakaplah. Memang sejuk sangat. Tak lama lepas tu satu persatu kawan-kawan kak Ti sampai. Sebaik cafe buka, kami terus menuju ke cafe untuk makan malam. Bayangkan dengan perut yang memang dah lapar dan suhu yang sangat sejuk, dapat pulak hidangan panas-panas. Memang berselera sungguh kami makan.
Selesai makan, kami semua balik ke hostel untuk bersihkan diri dan berehat sementara menunggu masa untuk summit puncak gunung Kinabalu pukul 2.30 pagi esok. Kalau nak diikutkan, penginapan kat Laban Rata ni boleh dikata selesa lah juga. Kami diberikan double decker bed yang lengkap dengan selimut tebal dan juga tilam yang selesa. Tapi bila mula-mula masuk bawah selimut tu memang sejuk yang amat.
Dalam hostel juga ada disediakan cerek untuk memasak air panas. Mujur ada cerek tu, dapatlah kak Ti panaskan air dan mandi malam tu. Kalau tak.. Memang tak mandilah jawabnya. Manakan tidak, jangankan nak basahkan badan, nak pegang air pun tak sanggup tau. Malam tu juga, ada beberapa kawan kak Ti yang kurang sehat. Mungkin terkena AMS (Acute Mountain Sickness) atau mungkin juga sebab perjalanan yang memenatkan dari Timpohon ke Laban Rata.
PENANTIAN YANG MENDEBARKAN
Dalam keadaan kesejukan yang amat, angin kencang dan hujan di luar, kami semua cuba untuk merehatkan diri dengan harapan keadaan akan jadi lebih elok pagi nanti. Jauh di dalam hati, rasanya kami semua dah tau yang harapan untuk mendaki ke puncak agak tipis bila tengok keadaan cuaca pada malam tersebut.
Tengah malam tu, kami semua bersiap sedia dan menuju ke cafe semula untuk dengar keputusan samaada kami dapat teruskan pendakian atau tak pada pagi tersebut. Dengan penuh debaran dan harapan kami semua menuju ke cafe untuk mengisi perut dan juga mendengar taklimat. Sesampai kat cafe, kak Ti tengok dah ramai pendaki lain yang ada kat situ untuk sama-sama mendengar keputusan. Honestly, rasanya semua dah tau apa keputusan pagi tersebut tapi kami tetap optimistik dan mengharap ada keajaiban.
Setelah agak lama menunggu dengan penuh debaran, akhirnya seorang wakil dari pihak bomba yang bertugas di laban Rata membuat pengumuman bahawa pendakian ke puncak pada pagi tersebut tak dapt diteruskan kerana keadaan cuaca yang semakin buruk di check point Sayat-Sayat. Betapa hancurnya hati kami bila dengar pengumuman tersebut. Persediaan selama setahun untuk berada di puncak Akinablu akhirnya ternoktah di Laban Rata.
REDHA DENGAN TAKDIRNYA
Kami hanya mampu merancang tapi yang pasti hanya perancanganNya lah yang akan berlaku. Impian dan hasrat kak Ti dan kawan-kawan untuk mencapai puncak Akinabalu terpaksa kami pendamkan untuk seketika dan akur bahawa untuk kali ini hanya sijil hitam putih yang akan kami terima. Walau macam manapun juga, kami yakin InsyaAllah pasti ada hikmahNya.
Alhamdulillah Ala Kulli Hal. Tak ada satupun yang Allah hadirkan dalam hidup kita untuk menzalimi kita. Semua yang Allah beri adalah karana cintaNya pada kita, hambaNya yang lemah dan serba kekurangan ini. Apa yang pasti perjalanan kali ini banyak pelajaran yang dapat kak Ti terima. Tentang hubungan denganNya dan tentang hubungan sesama insan.
Apa pun yang berlaku sepanjang perjalanan ini kak Ti terima sebagai satu anugerah dariNya. Ada rasa kecewa, ada rasa sedih dan ada rasa terkilan. Tapi macam yang kak Ti bagitau sebelum ni, kak Ti terima semua tu sebagai ketentuan dan takdirNya. InsyaAllah pasti suatu hari nanti kami akan berada di puncak Akinablau.
Tahniah dan terima kasih kak Ti ucapkan pada semua rakan rakan yang bersama-sama dalam ekspedisi Kinabalu kali ni terutamanya team leader (agen) yang menguruskn pendaftaran dan perjalan kami Mondok (Amirul Azaha), Rashid, Jinggo dan Chicken (Luis) yang sudi jadi hiking buddy kak Ti sepanjang pendakian menuju Laban Rata dan turun semula ke Timpohon. Terima kasih untuk segala pengalaman dan memori ini.